Memupuk amalan kawal selia kendiri dari usia muda sangat penting dalam era teknologi media sosial masa kini. Platform sosial dan digital kini dengan pantas menjadi wadah hiburan maya tanpa pengawasan yang memberi sedikit ruang kepada ibu bapa untuk berehat seketika daripada melayan kerenah anak mereka.

Ia merupakan ruang yang menyajikan hiburan dan hiburan berunsur pendidikan tanpa batasan kepada kanak- kanak seawal usia dua tahun, yang akhirnya boleh membuatkan mereka ketagih.

Hakikatnya, dalam era teknologi masa kini, memang sukar untuk menyekat mereka daripada menatap skrin, tetapi pernahkah ibu bapa berfikir sejenak tentang implikasinya? Apakah yang ditonton oleh anak-anak mereka? Apakah kandungan yang dinikmati dan adakah ruang ini selamat untuk mereka?

Anak kecil dan kanak-kanak yang berusia sehingga 13 tahun atau lebih mempunyai minda aktif yang diibaratkan seperti span yang dapat menyerap segala kandungan yang dipertontonkan. Dengan kurangnya pengalaman, mereka mungkin membuat pertimbangan yang kurang teliti dan menerima segala bentuk kandungan seadanya, sama ada baik atau buruk. Platform seperti YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok, Snapchat dan platform media sosial lain memuatkan pelbagai kandungan tidak ditapis yang lazimnya tidak dikawal selia oleh pencipta kandungan.

Sesiapa sahaja boleh menghasilkan kandungan di platform ini dan langsung tidak ambil tahu atau tidak peduli tentang siapa yang menggunakan kandungan tersebut, tanpa mengira umur. Memandangkan pelbagai platform ini tidak boleh dilenyapkan daripada dunia media sosial anak anda, ibu bapa perlu mengamalkan dan menggalakkan kawal selia kendiri di rumah.

“Kawal selia kendiri sebenarnya bermula di rumah dan merupakan kemahiran berguna yang boleh dikuasai dan dimanfaatkan oleh kanak-kanak apabila mereka dewasa. Ia seharusnya dianggap sebagai kemahiran hidup, seperti mana berenang. Bukankah kita tidak akan membenarkan anak kita bermain di lautan tanpa terlebih dahulu mengajar mereka cara untuk berenang? Kita juga tidak akan melepaskan pandangan kita daripada anak-anak kecil semasa berenang kerana mereka terdedah kepada risiko atas faktor usia.”

“Pemantauan yang sama harus dilakukan apabila anak-anak kita berenang di lautan dalam talian. Ibu bapa seharusnya terlebih dahulu melengkapkan anak-anak mereka dengan ilmu tentang kawal selia kendiri dan membuka mata mereka terhadap bahaya yang wujud di ruang maya. Kanak-kanak dan orang dewasa mendapat manfaat daripada mempelajari bagaimana kandungan tertentu boleh mempengaruhi mereka dan apa yang boleh mereka lakukan untuk mengawal selia sendiri kandungan sedemikian,” kata Pengarah Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan), Mediha Mahmood.

Beliau menambah bahawa penglibatan dan komunikasi berterusan dengan anak-anak kecil adalah langkah pertama yang penting bagi ibu bapa. Mereka seharusnya sentiasa peka dan mengambil tahu jenis kandungan yang digunakan oleh anak mereka.

Kawal selia kendiri mudah dilakukan dengan bantuan Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan), iaitu garis panduan yang dirangka oleh Forum Kandungan untuk menggalakkan amalan terbaik dan piawaian kandungan dalam kalangan pencipta kandungan dan pengguna. Perkara ini lebih penting lagi bagi anak-anak yang berusia sembilan hingga 13 tahun, yang bukan lagi dalam kategori kanak-kanak tetapi masih belum menjadi remaja dalam erti kata sebenar.

Pada usia inilah mereka paling mudah terpengaruh dan membentuk pandangan berasaskan kandungan yang dimuatkan di media sosial dan laman rangkaian sosial. Di laman rangkaian sosial, sesiapa sahaja dari mana-mana peringkat usia dengan mudah boleh berhubung dengan anak anda dan mengajak untuk berbual. Paling membimbangkan, pelaku mungkin seorang pedofil, iaitu mereka yang tertarik secara seksual terhadap kanak-kanak atau remaja muda lain yang menggalakkan pemikiran kurang sihat atau terlibat dalam tingkah laku antisosial seperti ugutan, penderaan lisan dan pembulian siber.

Kanak-kanak hari ini membesar dalam dunia digital. Memang tidak adil atau produktif bagi ibu bapa untuk mengharamkan mereka daripada melayari Internet dan media sosial. Satu faktor positif ialah platform dalam talian juga menyediakan kaedah bagi kawal selia kendiri, kata Mediha.

Ibu bapa boleh mengawal penggunaan kandungan dan menapis mengikut kesesuaian. Menggunakan ciri-ciri dan penetapan seperti kunci ibu bapa, penapisan, kunci mengikut waktu dan sekatan keselamatan adalah langkah penting yang pertama bagi melaksanakan kawal selia kendiri.

Ibu bapa yang memang mengenali anak mereka sendiri sudah tentu mahu menjaga kepentingan dan keselamatan mereka, mampu menapis dan menghalang laman bahaya dan mencipta ruang selamat bagi anak mereka tanpa mengira usia.

Walaupun tindakan menapis dan menggunakan kunci ibu bapa hanya berkesan bagi kanak-kanak pada usia tertentu, mereka juga boleh menggalakkan kawal selia kendiri dalam kalangan anak-anak yang lebih besar dengan sentiasa berbincang dengan mereka tentang aktiviti media sosial. Ibu bapa seharusnya peka tentang aktiviti anak mereka dengan peranti yang sering menemani mereka walaupun semasa makan dan tidur.

“Kawal selia kendiri ialah amalan terbaik bagi setiap orang yang terlibat dalam penciptaan dan penggunaan kandungan. Dengan mengawal selia kandungan dan menyedari potensi kewujudan kandungan yang kadangkala boleh membawa mudarat dan menyinggung perasaan, pengguna dalam talian juga boleh bertindak dengan melaporkan kandungan tersebut kepada pihak berkuasa yang berkaitan. Bagi kanak-kanak, mendidik dan memperkasakan kawal selia kendiri akan mendorong mereka melaporkan sebarang kandungan yang menyinggung perasaan, tidak menyenangkan atau menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa mereka.

Dengan berbuat demikian, ibu bapa dan kanak-kanak boleh mewujudkan persekitaran maya yang selamat dan sihat,” ujar Mediha. Dalam pada itu, kawal selia kendiri juga penting apabila kanak-kanak mencipta kandungan dalam talian.

Sama ada komen ringkas atau paparan audio visual lengkap mereka seharusnya dilengkapi dengan ilmu tentang kawal selia kendiri dan menentukan apa yang sesuai untuk tatapan awam.
Memahami hakikat ini sejak dari usia muda akan memastikan generasi masa depan akan terus menjadi pencipta dan pengguna kandungan yang bertanggungjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *