Forum Kandungan sedia kerjasama dengan Fahmi Fadzil dalam usaha kawal selia kendiri - Content Forum

Shopping cart

close

COMMUNICATIONS AND
MULTIMEDIA CONTENT FORUM OF MALAYSIA

close
2022, December, Month, News & Event

Forum Kandungan sedia kerjasama dengan Fahmi Fadzil dalam usaha kawal selia kendiri

Forum Kandungan sedia kerjasama dengan Fahmi Fadzil dalam usaha kawal selia kendiri

Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat (YB) Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil atas pelantikan beliau selaku Menteri Komunikasi dan Digital.
Sebagai sebuah forum industri yang ditubuhkan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), kami mengalu-alukan kehadiran beliau dan sedia untuk bekerjasama dalam perkara-perkara berkaitan kawal selia kendiri, terutamanya membabitkan ekosistem kandungan di Malaysia merangkumi bidang penyiaran, digital dan media sosial.
Rentetan daripada itu, kami berasa amat sukacita dengan komitmen YB Fahmi Fadzil untuk menangani isu-isu yang menekan dalam ruang digital hari ini termasuklah penipuan dalam talian dan perlindungan data peribadi di internet sebagai antara fokus utama beliau. Kami juga memuji tindakan pantas dan segera dari pihak beliau untuk menangani kegusaran-kegusaran terkini mengenai kandungan media sosial yang bersifat provokatif.
Mengambil kira misi utama kami untuk mempromosikan kawal selia kendiri, kami turut mengambil berat tentang isu yang sama berkenaan keselamatan internet dan isu-isu terkini dalam media sosial, termasuklah inisiatif untuk membendung penyebaran berita palsu, kandungan provokatif, ucapan bernada benci dan ekstremisme seperti yang telah digariskan di dalam Kod Kandungan 2022 yang telah diterbitkan baru-baru ini.
Forum Kandungan telah menjalinkan kerjasama yang erat dengan pelbagai platform media sosial, termasuklah TikTok untuk bekerjasama menimbulkan kesedaran dan menggalakkan para pengguna media sosial untuk mengamalkan kawal selia kendiri dalam penghasilan, penghantaran dan perkongisan sebarang kandungan.
Sebagai salah sebuah entiti yang memperjuangkan kawal selia kendiri, Forum Kandungan terdiri daripada para pemain utama dalam industri kandungan komunikasi dan multimedia, merangkumi para penyiar, pengiklan, badan-badan pengiklanan, pencipta kandungan, pembekal perkhidmatan akses internet dan kumpulan-kumpulan sivik. Gabungan perwakilan para pengamal industri yang dinamik dan kukuh ini memastikan bahawa piawaian kandungan terus dibangunkan ke arah mewujudkan sebuah medan yang adil dan saksama yang mampu menggalakkan pertumbuhan yang berdaya saing dan lestari dalam industri.
Penjenamaan semula Kementerian untuk memberi penekanan kepada Komunikasi dan Digital menandakan kepentingan kesalinghubungan kehidupan masyarakat yang semakin meningkat dalam dunia yang semakin terhubung, sekaligus membuktikan keperluan kawal selia kendiri dalam dunia digital. Kami percaya ini juga selari dengan visi SKMM untuk mewujudkan sebuah industri komunikasi dan multimedia yang berdaya saing, cekap dan menekankan kawal selia kendiri untuk kekal relevan seiring dengan peredaran zaman.
Forum Kandungan sentiasa mengalu-alukan para pemain industri dan orang ramai untuk turut bersama kami di Forum Kandungan dalam usaha untuk membina sebuah ekosistem kandungan yang selamat untuk semua.
Kami sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan YB Fahmi Fadzil dan Kementerian Komunikasi dan Digital dalam usaha untuk merealisasikan matlamat yang dikongsi bersama.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll To Top Sidebar