SHAH ALAM – Forum Kandungan menerima sebanyak 412 aduan berkaitan kandungan internet pada tahun 2021, berbanding 169 aduan mengenai isu sama pada tahun 2020.

Pengarah Eksekutif Forum Kandungan, Mediha Mahmood berkata, ia merupakan satu peningkatan ketara, malah isu tersebut tidak boleh dipandang ringan.

Beliau berkata, sejak 1 Januari hingga 31 Disember lalu, Biro Aduan Forum Kandungan juga menerima sejumlah 600 aduan melalui Portal Aduan, e-mel dan surat mengenai pelbagai isu berkaitan kandungan yang merangkumi pengiklanan, penyiaran dan kandungan mudah alih.

Daripada jumlah tersebut, katanya, 69 peratus melibatkan kandungan yang tidak sesuai atau sensitif yang ditemui di dalam internet, terutama di platform media sosial seperti YouTube, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan Snapchat.

“Platform ini mengandungi sejumlah besar kandungan yang tidak ditapis dan dikawal selia yang digunakan oleh para pengguna dari semua peringkat umur setiap hari.

“Walaupun platform digital seperti media sosial telah menjadikan kandungan lebih mudah untuk diperoleh dan diakses, ia bagaimanapun boleh diibaratkan bagai pedang dua mata, di mana seseorang boleh berasa terhibur dan terganggu pada masa yang sama.

“Justeru, konsep kawalan kendiri adalah cara terbaik untuk mewujudkan ruang dalam talian yang lebih sihat untuk para pengguna dan pencipta kandungan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mediha berkata, sekiranya melihat sebarang perlanggaran bagi setiap platform tersebut, maka individu itu perlu tampil mengemukakan laporan.

Beliau turut menggalakkan supaya pengguna media sosial mengamalkan kawalan kendiri dan amalan selamat semasa melayari Internet.

“Antaranya ialah menyemak tetapan privasi dan mengubahnya mengikut kesesuaian, malah ibu bapa sendiri perlu mengawal jenis kandungan yang sesuai untuk kegunaan anak-anak.

“Selain itu, orang ramai juga perlu sentiasa berwaspada mengenai segala maklumat peribadi yang patut dikongsi di dalam talian dan pilih untuk berkongsi dengan teman rapat dan pengikut yang dipercayai sahaja,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *