Garis panduan pelaporan, perkongsian kandungan bunuh diri dilancar
PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil hari ini melancarkan “Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri”, yang merupakan inisiatif pertama seumpamanya di dunia, dibangunkan menerusi pendekatan dipacu industri secara inklusif dan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
Fahmi ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif tersebut berkata, usaha proaktif oleh Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) dalam membangunkan garis panduan itu telah menghimpunkan Kementerian Kesihatan, pengamal media dan individu dengan pengalaman hidup sebenar, serta diperkukuh menerusi rundingan awam.
“Malah, Malaysia telah dijemput untuk membentangkan inisiatif ini di International Association for Suicide Prevention (IASP) World Congress 2025, bulan ini di Vienna, dengan CMCF mewakili negara kita,” katanya pada majlis pelancaran garis panduan itu di Menara Star, pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi CMCF, Rafiq Razali; Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi, Mano Verabathran; Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan, Dr Ismuni Bohari; serta Pengerusi Star Media Group (SMG), Tan Sri Wong Foon Meng.
Fahmi berkata, Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus menyokong usaha seperti itu bagi memastikan ekosistem kandungan di Malaysia kekal selamat, inklusif dan menyokong kesejahteraan rakyat.
“Saya juga ingin menyeru semua pemain industri sama ada pengamal media, pencipta kandungan, pempengaruh atau pengguna harian untuk merujuk dan mengamalkan garis panduan ini dalam penciptaan serta perkongsian kandungan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata, pelaporan mengenai kes bunuh diri merupakan antara topik yang paling sensitif dan menyayat hati yang dihadapi wartawan, dan amat penting untuk dilaporkan dengan penuh tanggungjawab dan berhemah.
“Ini terutamanya demi pertimbangan serta belas ihsan terhadap keluarga si mati. Terdapat juga fenomena ‘bunuh diri tiruan’ (copycat suicide), iaitu orang lain yang mengetahui tentang tragedi tersebut cuba menirunya.
“Atas dua sebab ini sahaja, kita tidak boleh sesekali mengambil ringan mengenai pelaporan dan perkongsian kandungan berkaitan bunuh diri,” katanya.
Dalam sidang media, Fahmi berkata, beliau menyambut baik pendekatan TikTok yang secara sukarela menjadi ahli Forum Kandungan.
“Facebook, Instagram dan X masih jauh daripada memuaskan. Saya akan berkomunikasi dengan mereka juga, tetapi mereka perlu faham bahawa Forum Kandungan ini bukan diketuai kerajaan, sebaliknya dipacu industri,” katanya.
Beliau turut menyeru semua platform agar turut serta membangunkan amalan terbaik dan kod etika demi kepentingan bersama.
“Saya berharap garis panduan ini diamalkan oleh semua pihak bukan sahaja wartawan, tetapi juga mereka yang membuat pelaporan di lapangan dan dalam seluruh struktur organisasi media.
“Untuk melakukan perubahan secara menyeluruh, terutama dari segi budaya pelaporan, seluruh organisasi perlu memahami dan menghormati prinsip-prinsip yang digariskan,” katanya.
Fahmi turut meminta Forum Kandungan menganjurkan bengkel libat urus melibatkan sebanyak mungkin organisasi media di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Kita juga perlu libatkan media sosial kerana kandungan berkaitan bunuh diri bukan hanya dilaporkan oleh media, tetapi turut disebarkan di platform mereka,” katanya.
Menjawab soalan mengenai kecukupan undang-undang bagi mengawal selia media sosial, Fahmi berkata ia bukan hanya isu perundangan tetapi juga melibatkan sikap pengendali platform yang lebih mementingkan keuntungan.
“Saya baru pulang daripada mesyuarat menteri-menteri komunikasi rantau Asia Pasifik dan dapati banyak negara menghadapi isu serupa berkaitan media sosial,” katanya. – Bernama